Apresiasi Terhadap Sasterawan Negara Zurinah Hassan
Sasterawan Negara Zurinah Hassan diiktiraf secara meluas sebagai salah seorang penyair terkemuka Malaysia, dengan sumbangan signifikan kepada perkembangan kesusasteraan Melayu. Karyanya sering dipuji kerana kedalaman pemikiran, keindahan bahasa, dan kemampuannya menyentuh jiwa pembaca.
Pandangan Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh
Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh amat terkesan dengan penggunaan metafora dan diksi yang sesuai, tepat, dan mudah lekat di ingatan dalam puisi Zurinah Hassan. Beliau menyatakan, “Sering kita dihadiahkan dengan metafora dan alur gagasan yang membawa ‘surprise’ dan hadiah begini tidak datang dengan mudah.”
Selain itu, Muhammad Haji Salleh turut melihat Zurinah sebagai “a really vocal and individual woman poet” yang menggunakan puisi sebagai wahana untuk meluahkan “innermost soul without the decorum of the past literary practices.”
Analisis Mana Sikana
Menurut Mana Sikana, Muhammad Haji Salleh merupakan antara penyair terbaik Malaysia, diikuti oleh Kemala, Baha Zain, dan Zurinah Hassan. Mana Sikana secara khusus menambah Zurinah Hassan dalam senarai penyair terbaik kerana puisi-puisinya menjadi lambang kelembutan wanita Melayu.
Beliau turut mengulas kekuatan puisi Zurinah Hassan terletak pada penguasaan bahasa yang cukup baik dan kental, perasaan yang puitis, ungkapan yang hati-hati, bersih, dan padat. Gaya penulisannya digambarkan sebagai merdu, kadangkala melodramatik, dan sekali-sekala sinis, namun cukup untuk menggoncang perasaan dan memberi pengalaman yang manis. Mana Sikana juga menekankan bagaimana Zurinah menafsirkan alam kehidupan, budaya, dan sublimasi manusia melalui kacamata Melayu yang lembut dengan suara yang harmonis.
Kedudukan dalam Persajakan Tanah Air oleh Shafie Abu Bakar
Shafie Abu Bakar menegaskan bahawa Zurinah Hassan mempunyai kedudukan yang kukuh dalam perpuisian tanah air. Beliau bukan sahaja dianggap sebagai penyair wanita terbaik dalam persajakan moden, tetapi juga salah seorang penyair terkemuka sebaris dengan nama-nama besar seperti Usman Awang, Kassim Ahmad, Latiff Mohidin, Muhammad Haji Salleh, dan Kemala.
Pujian dari Sasterawan Negara Lain
Sasterawan Negara Usman Awang
Usman Awang menggambarkan Zurinah sebagai “penyair wanita berbakat besar yang lahir selepas Anis Sabirin.” Beliau juga pernah menyatakan bahawa Zurinah telah memberikan sumbangan signifikan kepada perkembangan kesusasteraan Melayu, menghidupkan makna dalam perkataan, dan penggunaan bahasanya memukau, puitis, serta harmonis.
Sasterawan Negara Shahnon Ahmad
Shahnon Ahmad juga mengakui bakat besar Zurinah Hassan sebagai penyair wanita. Beliau mengamati bahawa nada dan irama puisi-puisi Zurinah amat lembut dan manis, terutama puisi-puisi sepinya, yang disebabkan oleh pemilihan kata-katanya yang amat sesuai dengan gerakan sumber alam yang menjadi imej puisinya.
Sasterawan Negara Ahmad Kamal Abdullah
Ahmad Kamal Abdullah melihat puisi-puisi Zurinah Hassan dalam antologi Keberangkatan sebagai “sesuatu yang miracle.” Kumpulan ini menunjukkan bagaimana Zurinah mencari makna kewujudan diri dan memerhati kemanusiaan yang semakin hilang di tengah-tengah kehidupan moden yang mengejar materialisme. Beliau juga memuji kemampuan Zurinah menautkan ilmu dan bakat dalam puisi-puisi ciptaannya.
Pandangan Kritikus dan Penulis Lain
Lim Swee Tin
Lim Swee Tin menyifatkan pengalaman membaca puisi-puisi Zurinah ibarat menjelajah ke alam penggunaan kata dan bahasa yang selalunya sederhana, namun kerap kali mengasyikkan. Beliau yakin bahawa puisi-puisi dalam antologi Nota Waktu keseluruhannya mampu membuktikan ketokohan Zurinah sebagai penyair Melayu terbaik setakat ini.
Arbak Othman
Arbak Othman mengukur kekuatan karya puisi Zurinah Hassan berdasarkan dua faktor: nilai estetik yang tinggi dan kualiti yang mengangkat puisinya sebagai genre puitik yang meningkatkan kesan pada aras kesedaran pembaca. Beliau menyatakan bahawa puisi-puisi Zurinah berhasil mengekalkan kesatuan fikiran dalam sifatnya yang indah, dengan idea yang tersusun, menyentuh perasaan, dan logik. Unsur rasa dan emosi paling kuat memberikan sifat kepada puisi yang dicipta, dan kebanyakan puisinya berhasil membentuk mesej yang berkesan.
Johan Jaafar
Johan Jaafar berpendapat bahawa puisi-puisi Zurinah memberi bekas kepada persoalan kekecewaan dan kehancuran kemanusiaan akibat ditelan oleh pemodenan dan pembaharuan yang bermaharajalela.
Dharmawijaya
Dharmawijaya mengulas bahawa “Dalam segala kelembutan dan kesederhanaan pengucapan Zurinah Hassan terasa kedalaman pemikiran yang menyegarkan kesedaran pembaca.”
Ramli Isin
Ramli Isin melihat puisi-puisi Zurinah Hassan mengandungi nilai-nilai kesusasteraan yang tinggi, terutamanya dari aspek kesederhanaan dalam gaya pengucapan pemikirannya dengan pembukaan frasa-frasa dan kalimat-kalimat yang segar yang mengandungi makna yang berlapis. Beliau menegaskan bahawa kesederhanaan dan kesahajaan Zurinah sudah merupakan suatu jati dirinya.
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM)
Laporan Panel HSPM mengenai Memoir Zurinah Hassan Menjejak Puisi menyoroti bagaimana Zurinah telah memberikan suatu dimensi baharu dalam penulisan autobiografi. Buku ini mempamerkan kelainan dalam persembahannya, menyatukan autobiografi seorang penyair dengan kehidupannya menghasilkan puisi, dan memperkatakan sendiri puisi-puisi yang telah ditulisnya. Karya ini memperlihatkan keterampilan kreatif penyair berserta keilmuannya menghayati puisi secara terbuka yang adakalanya berteori. Panel ini juga menyatakan bahawa jarang sekali khalayak sastera Melayu dipaparkan dengan persembahan sebegini rupa, iaitu yang menyatukan dua kemahiran dalam suatu wadah dan perbincangan. Pengalaman serta pengamatannya juga boleh dijadikan teladan, terutamanya kepada penyair muda. Buku ini istimewa kerana penulis memasukkan perbincangan bersifat ilmu ke dalam beberapa bab berserta petikan puisi sebagai contoh dan bukti, membezakannya daripada autobiografi lain yang sekadar mencatat sejarah diri tanpa panduan atau bimbingan.
Tafsiran Sejarah Melayu melalui Puisi
Datuk Seri Abdullah Badawi (Timbalan Presiden UMNO)
Datuk Seri Abdullah Badawi, dalam ucapannya pada 18 Jun 2003, memuji Sasterawan Zurinah Hassan kerana secara tepat mengungkapkan dalam puisinya bahawa yang ditentang oleh Hang Tuah bukannya Jebat, tetapi penderhakaan dan perebutan kuasa. Beliau menambah bahawa yang dipertahankan oleh Hang Tuah bukannya Raja, tetapi sebuah kerajaan. Tanpa kerajaan, negara tidak akan wujud, dan tanpa negara, bangsa akan hilang maknanya. Episod yang berlaku menghilangkan keramat Keris Taming Sari, lambang kekuasaan yang digunakan untuk bertarung sesama sendiri, dan Hang Tuah sendiri tidak berupaya mempertahankan kejatuhan Melaka.
Raja Nazrin Shah (Sultan Perak)
Dalam titah ucapan pelancaran buku The Malays pada 10 Mac 2009, Raja Nazrin Shah mengulas puisi Zurinah Hassan, Korban Hang Tuah. Beliau menyatakan bahawa Zurinah cuba menyelami gelombang serba salah yang menghempas dada Hang Tuah ketika terpaksa memilih antara kesetiaan kepada sahabat dan kesetiaan kepada Raja. Zurinah menjelaskan bahawa Hang Tuah sebenarnya tidak sekadar membunuh Hang Jebat tetapi menentang penderhakaan dan perebutan kuasa. Bagi Zurinah, Hang Tuah bukan sekadar mempertahankan seorang Raja tetapi mempertahankan lambang negara kepada sebuah kerajaan demi memastikan bahawa Melayu tidak akan hilang di dunia. Tanpa kerajaan, apalah ertinya lagi sebuah negara.